Sunday 4 September 2011

Perginya seorang wira


Bismillahhirrahmannirrahim...


KUALA LUMPUR 2 Sept. - Jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd. Nor, 41, meninggal dunia setelah terkena tembakan curi semasa membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia dan BAKTI di Mogadishu, Somalia malam ini.


Wartawan BernamaTV Khairulanuar Yahaya yang turut serta dalam misi itu berkata, kejadian itu berlaku semasa Noramfaizul bersama rakan media elektronik yang sedang menaiki trak dalam perjalanan ke sebuah pusat komersial untuk menghantar berita telah terkena tembakan curi yang mengenai bahunya dan menembusi parunya.


Kejadian itu berlaku pada pukul 10.30 malam waktu Malaysia dan Noramfaizul meninggal dunia semasa menerima rawatan pada pukul 11.07 malam waktu Malaysia (Malaysia lima jam lebih awal dari Mogadishu), katanya.


Khairulanuar berkata, tembakan itu ditujukan kepada trak tentera kerajaan yang mengiringi pasukan media dalam liputan berita telah tersasar dan mengena Noramfaizul yang duduk berdekatan tingkap.


Misi tersebut yang berlepas pada 28 Ogos dari Kuala Lumpur, dijangka pulang 8 September ini.Jenazah jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd. Nor yang maut kerana terkena tembakan curi ketika membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Mogadishu, Somalia disambut sebagai wira negara di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini hari ini. 


Jenazahnya yang tiba pada pukul 10.05 menaiki pesawat C-130 TUDM pagi tadi(4 september 2011) disambut kira-kira 500 orang terdiri daripada ahli keluarga serta rakan-rakan media yang lain.


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta isteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut hadir menyambut ketibaan jenazah Noramfaizul serta kepulangan pasukan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Somalia.


Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman.


Turut hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim; Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.


Jenazah Noramfaizul juga diberikan penghormatan tertinggi apabila kerandanya diletakkan dengan bendera Jalur Gemilang sebagai tanda penghargaan terhadap keberanian serta kesungguhannya menjalankan tugas untuk negara walaupun sedar risiko yang harus dihadapinya.
Keranda janazah juga disambut oleh sepasukan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mengusungnya sehingga ke dalam van sebelum dibawa ke masjid Pangkalan Udara TUDM untuk disembahyangkan.Jenazah dikebumikan di Serdang Jaya tempat asal allahyarham - Utusan 


P/S:Semoga Allah mencucuri rahmat keberkatan ke atas jenazah Allahyarham dan diminta rohnya tenang serta ditempatkan bersama orang-orang yang beriman...Al-Fatihah..

No comments:

Post a Comment

thank you for your comment...